UUM ONLINE: Bagi meningkatkan kapasiti penggunaan dan pengurusan dalam system pertanian, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) menganjurkan dialog meja bulat untuk Peningkatan Agrobiodiversiti melalui Sekolah Lapangan Petani (FFS).
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ayoib Che Ahmad berkata, penganjuran dialog ini adalah selari dengan peranan UUM ke arah pengurusan hijau yang melibatkan pengurusan teknologi dan operasi untuk menjamin bekalan makanan yang menjadi isu kritikal di Malaysia khusnya negeri Kedah.
Menurutnya, dialog meja bulat ini merupakan platform untuk berfikir, menjana idea dan cadangan bagi meningkatkan lagi peranan FFS dalam pemeliharaan dan pemuliharaan agrobiodiversiti.
Program anjuran bersama Persatuan Agroekologi Malaysia (SRI-Mas), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah dibiayai oleh Program Geran Kecil (Small Grants Programme - SGP), Fasiliti Persekitaran Global (Global Environment Facility-GEF), Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Development Programme-UNDP) dan Kilang Beras Mihoda Sdn. Bhd.
Dialog meja bulat ini disertai 25 agensi kerajaan, 12 petani SRI, dua badan bukan kerajaan (NGO) dan 20 ahli akademia dari UUM, UKM dan UPM.
Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Ladang-ladang Perbadanan Kedah Sdn Bhd., Jabatan Pertanian Putrajaya Malaysia, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Sawah Sempadan FFS Centre, Srilovely Centre, Centre of Environment, Technology and Development Malaysia (Cetdem) dan Paddy Rescue Pan Asia Pasific (PANAP).
Sepanjang sesi dialog itu, peserta didedahkan tentang peranan dan manfaat Sekolah Lapangan Petani dan kepentingan agrobiodiversiti dalam aktiviti penanaman padi, di samping berkongsi hasil dapatan kajian lapangan yang telah dijalankan oleh penyelidik SRI-Mas, UUM, UKM dan UPM.
Majlis dialog ini juga merupakan aktiviti geran agensi luar (SRI-Mas) yang diketuai Prof. Madya Dr. Zakirah Othman daripada STML dan dipengerusikan oleh Dr. Rospidah Ghazali, Felo Lestari, UKM.
Geran ini diletakkan di bawah felo penyelidik Disaster Management Institute STML yang memfokuskan kepada pendidikan komunit termasuk masyarakat luar bandar dan penduduk asal Malaysia ke arah amalan pertanian yang mengutamakan penjagaan alam atau agrobiodiversiti.