Kelab LogTrans Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan program SULAM bertajuk "Bicara Santai OPS KESELAMATAN JALAN RAYA Bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Alor Setar" di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sintok, baru-baru ini.
Penasihat Log, Nizamuddin Zainuddin MLogM, CMILT, berkata, program ini bertujuan untuk mempromosikan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan menggalakkan tingkah laku bertanggungjawab di jalan raya.
Menurutnya, Program SULAM ini bukan sahaja untuk memberikan ilmu tentang keselamatan jalan raya kepada pelajar sahaja tetapi juga untuk menyuburkan kemahiran pelajar UUM dengan melibatkan diri dalam menganjurkan acara dan meningkatkan pembelajaran pelajar dengan menghubung kaitkan teori dengan praktis di dunia sebenar, meningkatkan sahsiah, kemahiran sivik dan kewarganegaraan dalam kalangan pelajar.
Selain itu, katanya, ia memenuhi keperluan komuniti melalui aktiviti kesukarelawanan dengan menggunakan 'kepakaran' pelajar mengikut disiplin, mewujudkan persekitaran kerjasama antara pelajar, tenaga pengajar dan komuniti dan memberi peluang kepada agensi, syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) memberi sumbangan komuniti melalui tanggungjawab sosial korporat.
“Terima kasih kepada semua peserta dan mereka yang bekerjasama bagi menjayakan program ini. Program ini tidak hanya memberi peluang meningkatkan kesedaran pelajar mengenai kepentingan jalan raya, tetapi juga menjadi satu langkah bagi mengurangkan kemalangan di Malaysia.
“Sebagai penganjur, saya amat berbesar hati kerana terdapat kesan positif dalam program ini. Kerjasama antara Kelab LogTrans, JPJ Alor Setar dan komuniti akademik menunjukkan kuasa tindakan kolektif dalam menangani isu-isu sosial, memperkukuhkan kepercayaan saya terhadap kepentingan penglibatan komuniti dan pendidikan dalam memacu perubahan bermakna,” katanya.
Seramai 130 pelajar dari SMK Bandari Baru Sintok telah menyertai ceramah dan stesen interaktif yang disediakan.
Dalam Bicara Santai OPS Keselamatan Jalan Raya, wakil JPJ Alor Setar telah menyampaikan pembentangan yang menarik melalui video, slaid dan demonstrasi secara langsung mengenai peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya, merangkumi topik penting seperti tanda jalan, bahaya pemanduan terganggu dan peranan sebagai seorang pengguna jalan raya, akibat memakai topi keledar yang tidak mengikut piawaian dan kesalahan teknikal yang sering dilakukan oleh golongan remaja pada masa kini.
Hadir sama, Ketua Unit Advokasi, Unit Keselamatan Jalan Raya Dan Korporat (UKJRK) JPJ Negeri Kedah, Yaseri Jusoh sebagai penceramah.
Kelab LogTrans di bawah bimbingan Penasihat Log, Nizamuddin Zainuddin MLogM, CMILT dengan kerjasama Dr. Nooraini Ismail dan pelajar dari BPMG3033 Pengurusan Pengangkutan Bandar dan Luar Bandar (Kumpulan B) SMK Bandar Baru Sintok.