“Satu Program Sayangi Kampung Kita - Kesedaran Pengurusan Sisa Elektronik” adalah program di bawah Service Learning, Kursus Pengurusan dan Kejuruteraan Alam Sekitar, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, Univerisiti Utara Malaysia.
Program di bawah bimbingan Prof Madya Ts. Dr. Nurul Azita Salleh ini melibatkan seramai 120 pelajar Pengurusan dan Kejuruteraan Alam Sekitar (Kumpulan B & C) dari pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India, Siam, Sarawakian dan Sabahan telah diadakan pada 5 November 2022 di Kampung Chegar, Tunjang.
Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik iaitu Prof. Dr. Nor Hasni Osman telah menyempurnakan majlis perasmian program tersebut. Selain itu program ini juga telah dihadiri oleh Dr Yuhainis Mohd Yusoff, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Masyarakat (STML) dan Tuan Haji Yob Ramli, Ketua Kampung Chegar.
Program Service Learning ini memberi pendedahan mengenai kesedaran pengurusan sisa elektronik di kawasan kampung yang meliputi soal selidik ringkas yang telah dilakukan oleh pelajar mengenai tahap kesedaran penduduk kampung terhadap sisa elektronik serta ceramah berkaitan pengurusan sisa elektronik oleh Encik Muhammad Syafiq Bin Mohd Zuki (Green Resource Recovery Sdn. Bhd.). Pelajar juga telah membuat kutipan sisa elektronik dari rumah warga emas, menjalankan aktiviti 3R dan juga mengadakan sukaneka bersama penduduk kampung.
Program ini dilihat telah memberikan impak yang positif kepada pelajar dan komuniti luar bandar di mana secara tidak langsung telah membantu dalam memberikan pendedahan, meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelajar dan komuniti mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta cara pengurusan sisa elektronik yang betul.
Selain itu, program ini juga dapat meningkatkan kemahiran sosial pelajar dalam memupuk semangat kerja berpasukan, meningkatkan keyakinan diri, sifat hormat-menghormati serta mengeratkan hubungan di kalangan pelajar dan komuniti sekaligus membina sahsiah, kepimpinan, kemahiran dan hubungan yang baik antara pelajar dan komuniti luar bandar.