Food Security, Innovation & Development Research Centre (FInDER), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi Dan Logistik (STML) membangunkan Projek Ternakan Ayam Kampung Berkelompok dalam usaha memantapkan sumber pendapatan ibu tunggal.
Pengarah Projek Ternakan Ayam Kampung Berkelompok, Dr. Mastora Mustafar berkata ibu tunggal antara golongan masyarakat yang masih terperangkap dalam kancah kemiskinan.
Jelasnya, keusahawanan menyediakan peluang bagi golongan ibu tunggal untuk bekerja dengan jadual bekerja yang lebih fleksibel bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka untuk jangka masa yang panjang.
Namun katanya, akibat kekurangan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ini membuatkan mereka tidak berani menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.
“Atas kesedaran itu kami turun padang menyantuni penduduk untuk membantu menaikkan ekonomi keluarga golongan ibu tunggal dengan memperkenalkan Ternakan Ayam Kampung kepada kumpulan ibu tunggal yang telah dikenalpasti dan disaring dengan teliti.
“Kita memilih kampung ini setelah melihat hubungan sesama mereka yang sangat akrab, semangat bekerjasama dan muhibah jadi hari ini kita berpeluang bersembang dengan penduduk untuk mendapatkan maklumat dan melihat kecenderungan mereka terhadap projek ini.
“Seterusnya mereka yang terpilih akan dibimbing oleh fasilitator dan pengusaha ayam kampung menerusi pemindahan ilmu dan perkongsian pengalaman mengenai cara dan kaedah terbaik selain menghasilkan rantaian pembekalan ayam yang lengkap,” ujarnya.
Tambahnya, kunjungan ini merupakan kali kedua rentetan daripada program Pembangunan Industri Halal Kepada Penduduk Kampung Padang Kerasak yang pernah dilakukan sebelum ini.
Seorang penduduk yang ditemui, Siti Hajar Md Isa menyambut baik peluang peningkatan ilmu pengetahuan dan sosio ekonomi di kalangan golongan ibu tunggal melalui jalinan kerjasama universiti-komuniti.
Siti Hajar teruja dengan kunjungan UUM yang sudi mendekati penduduk dan membantu memajukan lagi kampung ini.
“Terima kasih kepada UUM yang memilih kampung kami, dengan kunjungan UUM yang menawarkan projek ayam kampung ini diharapkan memberi sinar baru kepada penduduk di sini.
“Ramai penduduk di sini bekerja sebagai penorah getah dalam keadaan harga getah yang tidak menentu ada yang berniaga seperti membuat pekasam, kuih dan menjahit bagi menampung kos sara yang semakin meningkat.
“Usaha UUM ini dapat membantu mengatasi masalah ini dengan memberi jalan dan saluran yang tepat kepada penduduk semoga usaha murni dan hubungan yang terjalin antara penduduk dan UUM akan berterusan,” luahnya.
Delegasi UUM turut berkesempatan melihat reban beberapa penduduk yang sedia ada di sekitar kampung itu untuk membuat analisa dan kajian terperinci.