Follow Us

member login button png 8

Menjadi lumrah dalam dunia perniagaan ada masa pasang, ada masa surut. Tidak terkecuali syarikat pegangan pelaburan, Bina Darulaman Berhad (BDB), syarikat subsidiari Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang kini telah disenaraikan di Bursa Malaysia.

Kisah semangat pencapaian BDB yang ditubuhkan pada 1995 sehingga kini telah dikongsikan bersama oleh Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Dato' Izham Yusoff dalam BDB Talk: Spirit Of Achievement In BDB di Dewan Seminar C, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), tengah hari tadi.

Sepanjang program tersebut, beliau berkongsi sejarah penubuhan awal BDB yang menjalankan aktiviti utama seperti pegangan pelaburan, penyediaan perkhidmatan pengurusan dan pembangunan hartanah.

Katanya, Kumpulan BDB pada asasnya terlibat dalam perniagaan yang berteras kejuruteraan, kuari, perbandaran dan pembangunan hartanah, pelancongan dan hospitaliti.

Selain itu, beliau juga berkongsi cabaran yang dihadapi BDB terutama dalam mengendalikan projek pembinaan perumahan serta cara BDB menangani situasi tersebut.

"Dalam perniagaan, decision making adalah sangat penting yang mana ia harus cepat dilakukan dan jelas kerana 'time is money' apabila sesuatu projek itu tergendala atau berhadapan masalah akan menjadikan kos lebih tinggi.

"Apa yang kita lakukan ialah menyiapkan projek tersebut dan cuba mengambil pendekatan seperti dengan menjual kepada orang awam dan juga Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)," ujar beliau.

Dato' Izham juga turut menjelaskan tentang penjenamaan semula BDB yang mana ia penting untuk membuatkan BDB terus bergerak maju ke hadapan.

Pada sesi tersebut juga, beliau menekankan kepada pelajar tentang kelebihan untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris terutama ketika menghadiri sesi temuduga.

Sementara itu, Dekan STML, Prof Dr Shahimi Mohtar berkata, program bual bicara profesional (Professional Talk) yang dikendalikan oleh pelajar tahun akhir STML itu adalah sebagai medium untuk pengamal industri berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dengan pelajar.

Menurutnya, ia adalah sebagai persediaan untuk pelajar sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan sebenar dan beliau berharap program itu dapat dimanfaatkan sebaiknya.

  • 1.png
  • 01.png
  • 10.png
  • 41.png
  • 51.png
  • 61.png
  • 71.png
  • 91.png
  • mqa2023.png
  • setara2023.png
  • sirim_footer.png