Follow
Text Size
enarzh-CNdehijams
Tue, Sep 25, 2018

Seramai 41 pihak industri buku tanah air termasuk pengarang, editor dan penerbit menerima pelbagai pengiktirafan sempena Anugerah Buku Negara 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. Pengarang Sabah yang juga Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write), Jasni Matlani memenangi Anugerah Buku Umum Terbaik Kategori Sastera, manakala dramatis dan penyair Terengganu, Wan Ahmad Ismail meraih Anugerah Buku Umum Terbaik Puisi.

Sementara itu, Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM) pula mengungguli dua kategori, iaitu Buku Umum Terbaik Kategori Seni Kraf menerusi karya Seni Tembikar dan Buku Umum Terbaik Kategori Suntingan (Koleksi Peribahasa China Terindah). Anugerah disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang turut menyempurnakan majlis perasmian Ekspo Buku Malaysia 2015.

Sementara itu, Mahdzir berkata, pembangunan negara bangsa bergantung kepada keupayaan masyarakat menguasai pelbagai bidang ilmu yang hanya dapat direalisasikan melalui penerbitan lebih banyak buku dalam bidang bahasa, sejarah, kebudayaan, sains dan matematik. Beliau berkata, industri buku tanah air menunjukkan perkembangan sihat terutama wujudnya pelbagai inisiatif daripada institusi, penerbit dan pengarang. "Jika dilihat secara teliti banyak bidang ilmu yang boleh dimanfaatkan dalam bentuk penulisan termasuk sains, dan matematik serta bahasa, sejarah dan kebudayaan. "Usaha sebegini amat penting dalam melonjakkan negara yang berlaku di negara maju seperti Perancis sehingga mereka berjaya menerbitkan begitu banyak buku dalam bidang sains dan teknologi," katanya. Yang turut hadir, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sariyan; Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), Hasan Hamzah; Timbalan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Maizan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Penilai Anugerah Buku Negara 2015, Prof Dr Datuk Abdul Latiff Bakar. Anugerah Buku Negara 2015 bertujuan menghargai dan mengiktiraf sumbangan tenaga di sebalik tabir industri perbukuan dan memberi suntikan semangat untuk menggalakkan penghasilan karya berkualiti. Ekspo Buku Malaysia yang diadakan sehingga Ahad ini, menawarkan pelbagai judul di 150 gerai jualan buku, selain turut menampilkan Persidangan Buku Antarabangsa.

Sumber: Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM)

  • 0.jpg
  • 1.png
  • 2.png
  • 4.png
  • 5.png
  • 6.png
  • 7.png
  • 8.png
  • 9.png