Logistics Industrial Forum 2024 bertemakan "Empowering Change for A sustainable and Productive Future: Malaysia’s Aspiration To Become The Next ASEAN Logistics Hub" anjuran Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, Universiti Utara Malaysia (STML UUM) berjaya membawa 13 pakar logistik dari dalam dan luar negara, dan lebih 350 peserta pemain industri logistik, ahli akademik dan pelajar universiti.
Program julung kalinya diadakan itu dianjurkan secara bersama Malaysia Productivity Corporation (MPC), PKT Group Sdn. Bhd. dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah berlangsung dengan jayanya di Ship Campus, Batu Kawan, Pulau Pinang pada 29 April 2024.
Sebelum acara kemuncak itu Simposium Logistik Antarabangsa diadakan melibatkan penyertaan pelajar pengajian bidang logistik dan pengangkutan seluruh institusi pengajian tinggi di Malaysia yang berkampung di Ship Campus, Batu Kawan.
Pelajar-pelajar didedahkan dengan pengalaman industri, perkongsian ilmu dan juga aktiviti berkumpulan dalam menyelesaikan masalah berkaitan industri.
Ketika berucap merasmikan Program Logistics Industrial Forum 2024, Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mohamad Norjayadi Tamam menyatakan keyakinan untuk Malaysia muncul sebagi pusat logistik serantau.
"Dengan lokasi yang strategik, sumber yang mampan dan infrastruktur yang cemerlang, Malaysia mempunyai kelebihan utama untuk menarik syarikat-syarikat multinasional membina pusat logistik serantau mereka di sini," katanya.
Panel forum turut dianggotai oleh Joerg A. Vollmer, Pengarah Urusan, Bosch Rexroth; Dr. Vijayaindiaran A/L R. Viswalingam, Pengurus Besar, Penang Port Commission; Mr. Hup Lim, Cheah, Ketua Pegawai Eksekutif Keysight Global Logistics, Dato’ Nachiappan Suppiah selaku Logistics Productivity Members MPC; Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio, Pengarah Urusan dan CEO PKT Logistics Group Sdn. Bhd.; Puan Habibah Enok, Pengarah Maritim dan Perkhidmatan Logistik, Malaysian Investment Development Authority (MIDA); Mr. Jeff Tan, APAC Leader, Frost & Sullivan, Malaysia; En Zaid bin Sabit@Mubin, Pengarah, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD); En. Azzaharin Allias, Pengarah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Mr. Kenneth Tiong, Logistics Productivity Members MPC dan Dr. Jason Cheah, Ketua Pegawai Operasi, PKT Logistics Group Sdn. Bhd.
Turut hadir adalah Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim selaku Pemangku Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab Penolong Naib Canselor UUM serta wakil-wakil pengurusan dari Politeknik Malaysia, Peninsular College, dan pelbagai pemain industri logistik dan pengangkutan.
Program ini juga diserikan dengan ucaptama oleh Mr. Gopal R, selaku Global Leader Supply Chain and Practice, Frost & Sullivan. Beliau menekankan tentang kepentingan analisis data dalam meningkatkan kecekapan dan keupayaan strategi syarikat logistik dan pengangkutan dalam menghadapi cabaran dewasa kini.
Selain itu, dengan tema yang diketengahkan, pelbagai isu-isu terkini dalam industri logistik telah dibincangkan secara terperinci di dalam sesi forum bersama pakar logistik yang telah dijemput.
"Program ini tidak hanya memberi peluang kepada pakar industri untuk berkongsi maklumat terkini mengenai industri logistik dan pengangkutan di Malaysia dan ASEAN, tetapi juga menjadi platform bagi kerjasama antara industri dan akademik dalam usaha memperkukuhkan sistem pendidikan negara," kata Dr. Kamal Imran Mohd Sharif, Pensyarah Kanan dan juga selaku Pengarah Program Logistics Industrial Forum 2024.
Program ini secara tidak langsung telah memberikan peluang kepada para ahli akademik untuk meningkatkan kolaborasi dengan pihak industri serta memperkuat peranan UUM dalam sumbangannya terhadap pembangunan industri logistik dan pengangkutan di Malaysia.