Follow
Text Size
enarzh-CNdehijams
Mon, Dec 17, 2018

Pada 5 Mac 2018, satu Program Komuniti telah dianjurkan di Sri Lovely Organik Farm Belantik, Sik, Kedah. Majlis ini dihadiri oleh vip-vip jemputan seperti YB Datuk Mohd Tajudin Abdullah, Exco Kerajaan Negeri dan juga Adun Belantik, Dato’ Azlie Halim, CEO Intermedia Network, Nik Fauziah ab Manaf, Pengarah Business Development Intermedia Network dan Souhaila Boudir, Corporate Communications Intermedia Network.

Turut bersama majlis ialah beberapa penyelidik dari universiti awam antaranya Dr. Nurul Salmi Abdul Latip penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, Prof. Dr. Che Azlan Taib, Pengarah Disaster Management Institute (DMI) UUM, Dr. Mohamad Ghozali Hassan, Felo Penyelidikan Disaster Management Institute (DMI) UUM, Dr. Kamaruddin Radzuan, Felo Penyelidikan Disaster Management Institute (DMI) UUM, Mohamad Afiq Fahmi Ismail dan AbdulQadir Mohamed yang kedua-duanya merupakan pelajar UUM.

Turut memeriahkan majlis sekitar 40 peserta dari Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), para pekerja Sri Lovely Farm dan juga penduduk kampung. Kelihatan warga komuniti yang terdiri dari pelancong luar negara dan juga warga tempatan begitu teruja menimba pengalaman dengan melakukan aktiviti di Sri Lovely Farm. Mereka begitu bersemangat mempelajari kaedah tradisional yang dipraktikkan disini. Satu kaedah yang masih menggunakan tenaga kerja manusia berbanding di kawasan pertanian lain yang menggunakan jentera mesin padi.

Donation Book untuk Sri Lovely Farm

DMI UUM sempat menyumbangkan beberapa buah buku kepada Sri Lovely. Sumbangan ini telah disempurnakan oleh Pengarah DMI, Prof. Dr. Che Azlan Taib kepada Kapten (B) Zakaria Kamantasha.Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) UUM, Prof. Dr. Shahimi Mohtar mengucapkan syabas kepada DMI UUM kerana tampil memberi sumbangan buku kepada Sri Lovely Farm. Katanya, banyak manfaat yang akan diperoleh oleh komuniti disamping ianya dapat meningkatkan hubungan universiti dan industri.
Penyelia Sri Lovely, Kapten (B) Zakaria Kamantasha, pula melahirkan rasa syukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak UUM atas sumbangan yang diberikan. Tegasnya lagi, beliau amat menggalakkan sumbangan seperti ini kerana beliau telah mewujudkan satu sudut membaca yang digelar Lovely International Library.Tambahnya lagi, disamping dapat melihat keunikan tempat, para pengunjung boleh bersantai sambil membaca khususnya buat pengunjung luar negara yang amat gemar mengisi masa lapang dengan membaca.

Falsafah Tentera di dalam Sri Lovely Farm

Sri Lovely Farm antara kumpulan petani yang menggunakan Sistem Intensifikasi Padi (SRI). Namun Sri Lovely Farm mempunyai keunikannya yang tersendiri. Keunikan tersebut telah menarik para penyelidik dan pelancong untuk berkunjung ke Sri Lovely Farm.

Menurut penyelia tempat, Kapten (B) Zakaria bin Kamantasha, nama Sri Lovely diambil dari singkatan Sri Lintang Organic Valley yang kemudianya memasarkan dengan jenama Sri Lovely Organic. Untuk menghasilkan makanan yang lebih sihat, Zakria Kamantasha telah memulakan aktiviti ini bermula tahun 2010. Melalui sistem ini, tanaman lebih segar dan lebih selamat untuk dimakan kerana telah terhindar dari baja atau racun yang mengandungi pelbagai jenis kimia.

Zakaria Kamantasha menjelaskan antara yang perlu diberi perhatian dalam penanaman padi organik ialah penyediaan tapak tanaman, benih padi, sistem pengairan, pembajaan, penyelenggaraan, pengawalan penyakit dan juga pengawalan dari haiwan. Tambah beliau, kami berkawal di siang hari untuk menghalau burung-burung yang cuba mendekati sawah dan pada malamnya berjaga-jaga dari babi hutan yang berkeliaran. Tidak hairan apabila di sekeliling kawasan dipagari dengan pagar elektrik.

Zakaria Kamantasha yang juga merupakan Pengerusi Koperasi Agro Belantik Sik Berhad menegaskan, jerami yang ada tidak akan dibakar atau dijual sebaliknya diproses untuk dijadikan baja. Hal ini kerana beliau tidak mahu menggunakan baja kimia yang boleh mengubah mutu beras dan juga menyebabkan beras tercemar.
Zakaria Kamantasha atau lebih mesra disapa dengan gelaran kapten ini menceritakan bagaimana dia mengaplikasikan konsep tentera dalam Sri Lovely Farm. Beliau yang pernah berkhidmat sebagai tentera menggunakan konsep Administration (Pengurusan), Group (Kumpulan) dan juga Quatet Supply (Bekalan Kuota) (AGQ). Ketiga-ketiga konsep ini saling berkait yang akan menghasilkan sesuatu output yang terbaik. Lanskap yang direka juga berkonsepkan penempatan tentera dengan dikelilingi hutan dan sangat berhampiran dengan sumber air. Struktur bangunan yang direka juga menggunakan sumber alam semulajadi seperti pokok kayu, buluh dan juga daun rumbia. Sehingga kini pihaknya sudah berkolaborasi dengan pelbagai agensi penyelidikan dan pembangunan seperti MARDI, KEDA, Intermedia Network dan UUM.

Sri Lovely Farm sebagai tempat Agro Pelancongan

Selain membantu ekonomi penduduk kampung, Sri Lovely juga berperanan sebagai tempat penyelidikan dan pelancongan. Sri Lovely telah menjadi rujukan padi organik apabila penyelidik dari dalam dan luar negara turut berkampung di sini bagi mendapatkan maklumat. Pelbagai kemudahan disediakan bagi keselesaan pengunjung antaranya dewan terbuka, beberapa unit rumah tumpangan dan juga beberapa unit pondok rehat sesuai untuk berehat atau bermalam.

Menurut Emanuele, seorang pelancong dari Genoa Itali, beliau telah berada di Sri Lovely selama sebulan. Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Manan, menceritakan beliau mengetahui mengenai Sri Lovely ini hanya melalui website.

Beliau yang bekerja dalam bidang perkapalan di Cambodia mengembara ke Malaysia untuk melihat sendiri alam semulajadi di Malaysia. Katanya, disini beliau menemui kedamaian dengan persekitaran yang sangat cantik, dikelilingi hutan berbukit, sungai dan juga bunyi-bunyian alam. Disamping penduduk disini yang sangat harmoni, saling membantu dan sangat menyantuni tetamu terutama masyarakat dari luar negara.

Tambahan itu, beliau yang gemar menu masakan melayu ini juga turut mempelajari budaya melayu dan juga mempelajari Bahasa Melayu.

  • 0.jpg
  • 1.png
  • 2.png
  • 4.png
  • 5.png
  • 6.png
  • 7.png
  • 8.png
  • 9.png